H.I.P.O.K.R.I.T.???

Assalamualaikum... cerkon (cerita kontot) ini aku karang untuk tukar cara penyampaian. Harap2 la dapat difahami. Harap maaf segala kekurangan. Silalah santap minda dan hati anda.


“Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam kerana masih memberi peluang untuk aku menghirup udara yang segar pada pagi ini. Ya Allah, banyaknya nikmat yang Engkau berikan kepadaku.” Najihah mencapai tuala yang bergayut di birai katil setelah dibangkitkan kembali daripada tidur yang lena malam tadi. Seperti kebiasaan, Najihah bersiap-siap untuk menunaikan solat subuh.

Pagi yang redup itu diisi dengan bacaan Al-Ma’thurat yang indah. Subhanallah! Sungguh indah nama-nama Allah. Hanya orang yang khusyuk sahaja menikmati keindahan itu.

Kini Najihah bersiap-siap untuk ke kuliah. Sebagai mahasisiwi muslimah dia perlu menjalankan tanggungjawabnya membawa nama Islam dengan baik. Perkara yang paling penting ialah dengan penampilan dirinya. Penampilan diri menunjukkan jati diri seseorang.

Bagaimana jika sesorang muslimah itu tidak menutup aurat? Bolehkah dianggap baik? Sesetengan orang menyatakan bahawa dirinya baik walaupun terdedah sana sini. Tidak menganiaya orang. Memanglah jika dinilai daripada segi perbuatan mereka adalah baik. Bagaimana dengan hak Allah? Bahkan hak diri mereka sendiri? Jadi bagi memenuhi hak Allah dan diri sendiri, Najihah mengenakan pakaian yang dituntut syarak.

Bagaimana pakaian yang dituntut syarak? Setelah sekian lama Najihah memerhatikan suasana di sekelilingnya, ramai wanita muslimah yang masih lagi belum memakai pakaian yang mengikut panduan Al-Quran dan As-Sunnah. Seperti yang diajar di dalam kitab Allah itu, seorang muslimah itu hendaklah melabuhkan pakaiannya sehingga menutupi dadanya. Hanya menampakkan muka dan tapak tangan. Muslimah itu juga haruslah mengenakan pakaian yang longgar dan tidak menampakkan bentuk badan, di mana kain yang dipakainya tidak nipis.

Najihah bersyukur kerana dipilih oleh Allah untuk menjalani kehidupan sebagai muslimah untuk menegakkan agama yang syumul ini. Begitulah nikmatnya jika menghayati ayat-ayat Allah; Sesungguhnya solatku, dan ibadahku, dan hidupku, dan matiku kerana Allah, Tuhan Sekalian Alam. Segala tingkah laku pasti mengingati Allah S.W.T.

Setibanya di kampus, Najihah disapa oleh sahabat baiknya. Karimah adalah sahabat yang paling rapat dan disayangi Najihah. Sayangnya, Karimah masih belum mampu mengikut jejak langkah Najihah. Walaubagaimanapun, Najihah tidak pernah berputus asa berdakwah kepada sahabatnya itu. Kini pendekatan dakwahnya cuba ditingkatkan.

Sebelum memasuki universiti, Najihah hanya mampu mendiamkan diri, melihat sahaja perlakuan manusia. Baik atau buruk dibiarkan sahaja. Dahulu duniaku adalah duniaku, duniamu adalah duniamu. Kini, baginya duniaku adalah duniamu jua. Tujuannya adalah untuk akhirat bersama-sama.

Najihah bersahabat dengan Karimah semenjak mereka memasuki sebuah institusi pengajian di tanah air ini. Pernah Najihah cuba untuk menasihati Karimah terutama sekali dalam bab pakaian. Namun nasihat Najihah dipandang sepi oleh Karimah. Najihah tidak putus asa. Mungkin caranya tidak efektif. Mungkin juga pada waktu itu Karimah masih lagi belum boleh menerima pendekatan Najihah. Yalah, Najihah sendiri pun masih mentah dalam bidang ini. Di IPTA baru dia boleh belajar mengenal Islam dengan lebih mendalam. Sewaktu di sekolah, dia kurang didedahkan dengan kehidupan sebenar. Baginya, pergi ke sekolah semata-mata untuk menduduki peperiksaan.

Sewaktu di matrikulasi, Najihah mula tercari-cari identiti diri yang sebenar. Dia cuba untuk berjinak-jinak dengan masjid. Dia cuba mendekati sahabat-sahabat yang boleh membawanya ke jalan yang benar. Waktu ini dia masih lagi terikat dengan peraturan kolej untuk melakukan aktiviti dakwah. Al-maklumlah zaman sekular sekarang, hendak buat aktiviti agama kena sorok-sorok. Kini, Najihah mengambil peluang seboleh-bolehnya untuk dia menjalani aktiviti dakwahnya. Najihah tidak keseorangan. Sahabat-sahabat perjuangannya memberikan sokongan penuh serta panduan dalam menjalani aktiviti dakwah ini. Dalam menempuhi jalan ini, pelbagai dugaan bisa datang. Sebagai muslimah sejati, seharusnya dugaan itu dijadikan sebagai penambah semangat untuk meneruskan perjuangan.

Kini sudah tiba masanya untuk Najihah memainkan peranannya sebagai da’ie. Dia sudah bersedia untuk menghadapi pelbagai onak duri dalam memperjuangkan agama yang suci ini. Dirinya kini bukan sahaja sebagai pelajar, malah seorang da’ie merangkap abid. 

Di satu sudut yang lapang dan redup. Najihah dan Karimah bersantai di bawah pondok yang menghadap ke arah masjid yang tersergam indah itu. Mereka menikmati suasana yang damai pada petang Jumaat setelah selesai menunaikan solat Asar di masjid itu. Subhanallah. Nikmat udara.

 Karimah memulakan bicara. “Najihah, boleh aku tanya kau sikit?” Soal Karimah.  

“Boleh. Apa dia? Banyak pun boleh.” Najihah tersenyum. Dia menantikan saat-saat ini. Peluang keemasan. 

“Emm...aku tengok kau ni kan, senang sangat berubah. Dulu kau pakai tudung biasa-biasa je. Macam aku ni ha. Belit sana-sini. Cantik apa. Sekarang kau dah tukar fesyen pulak. Tudung labuh bulat ni je. Hipokrit la.” Najihah menggeleng-gelengkan kepala mendengar soalan Karimah itu. Namun,  dia masih lagi tersenyum. Sayang sangat sahabatnya itu. 

“Wahai Karimah ku sayang. Bagus benar soalanmu itu. Kau tahu apa maksud hipokrit? Kini siapa yang hipokrit? Orang macam aku atau muslimah yang berpakaian tetapi telanjang?” Soal Najihah kembali. 

“Eh, kenapa kau tanya aku balik? Bagi aku, kita perlu jadi diri kita sebenar. Kalau kita dah pakai macam ni, buat apa nak tukar-tukar. Be ourselves.” Karimah mengemukakan pendapatnya. Najihah merenung muka sahabatnya. 

“Aku sedang menjadi diri aku yang sebenar. Orang seperti aku menjadi dirinya yang sebenar. Diri kita yang sebenar adalah begini. Perlu menutup aurat. Mengikut syariat yang telah ditetapkan. Panduannya adalah Al-Quran dan hadis. Kau tak perlu takut dengan ancaman manusia. Mereka tidak tahu identiti mereka sendiri. Seharusnya kita berasa izzah iaitu bangga dengan diri kita. Aku Islam, dan kau juga Islam.” Riak muka Najihah masih tenang menghadapi persoalan sahabatnya.  

“Sebagai muslimah, kita seharusnya menunjukkan contoh terbaik kepada kaum lain. Bagaimana kita hendak menjadi umat Islam yang dipandang mulai sedangkan umat Islam sendiri yang menjatuhkan martabat Islam? Kau boleh lihat sendiri anak muda sekarang. Inikah bakal pemimpin negara? Berdamping dengan maksiat, lebih daripada bertaubat? Islam adalah cara hidup. Fitrah manusia inginkan kebaikan. Aku percaya kau juga inginkan kebaikan. Semua manusia pun begitu. Kita kena yakin bahawa Islam sahajalah yang membawa kebaikan yang kita inginkan,” dahi Karimah berkerut. 

“Boleh kau terang lagi? Aku jadi berminat pula.” Kini Najihah seakan mahu melonjak kegembiraan terdengarkan permintaan Karimah. 

“Alhamdulillah. Hati kau telah terbuka untuk memahami Islam. InsyaAllah akan aku lanjutkan perkara ini.” Najihah membetulkan lipatan tudungnya. 

“Pernahkah satu hari kau berasa hati kau tidak tenang, wahai sahabatku?” Najihah cuba bertanyakan secara hikmah. Itulah yang disarankan sebagai da’ie. 

“Tenang? Aku rasa hidup aku ni macam tak ada tujuan. Hari-hari pergi kuliah. Lepas tu balik kuliah. Dekat bilik pulak hadap laptop. Siapkan assignment. Macam tu la hidup aku hari-hari. Rasa macam naik tension. Nak bunuh diri pun ada.” Jelas Karimah. Najihah beristighfar apabila mendengar luahan sahabatnya itu. 

“Karimah, apabila kita mendekatkan diri kita kepada Pencipta kita, nescaya hati kita akan berasa tenang. Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang. Percayalah cakap aku. Kau tiada masalah untuk menyelesaikan semua kerja kau tu. Aku sarankan bahagikanlah masa sebaik-baiknya untuk diri kau bersama dengan yang berhak kau cintai. Pencipta sekalian alam. Kau akan mendapati betapa banyaknya nikmat yang diberikan oleh Khaliq kita. Selayaknya kita ini hanyalah seorang ‘abid yang kerdil, menyembah hanya kepada Tuhan yang satu. Bagaimana kita boleh mengingkari arahan-Nya? Kenapa pula kita tidak patuh akan ketetapan yang telah dibuat oleh-Nya? Siapa kita? Sudahlah diciptakan daripada air mani yang kotor. Apabila dewasa sombong pula. Patutkah itu semua? Nikmat Tuhan yang manakah yang engkau dustai? Sifat ini selayaknya dikurniakan kepada kuffar sahaja. Nauzubillah.” Najihah menarik nafas untuk menyambung perbicaraannya. Karimah masih setia mendengar hujahan sahabatnya. Bijak sekali memberi hujah. 

 “Kini aku ingin bertanya kepada kau. Sudikah kau mengikuti jejak langkahku?” Ringkas soalan itu. 

“Wahai, Najihah. Sahabat yang aku sayangi. Jika inilah pendirian kau, akan ku turut serta menegakkan agama yang indah ini. Aku ingin menjadi sebahagian daripada pejuang agama Allah. Pandulah aku ke jalan yang benar. Ajarilah aku segala yang aku tak ketahui. Segala kekhilafan lampau, semoga dapat diperbetulkan. Adanya kau di sisi ku membuatku lebih bersemangat meneruskan misi ini.” Pipi Karimah dibasahi tangisan kebanggaan sebagai Islam. 

“Maha suci Allah, yang memberikan hidayah kepada hamba-Nya. Karimah, aku berbangga dengan kau kerana mudah sekali kau memahami bicara aku. Hati kau mudah mendetikkan kebaikan. Semoga budi pekertimu ini semulia nama yang kau bawa.” Najihah memeluk sahabatnya diiringi tangisan kegembiraan. 

Sahabatnya kini faham dengan kehidupan sebenar. Apa yang patut dilakukan. Apa peranan sebenar. 

“Najihah, aku juga doakan semoga kita diberikan kekuatan untuk membawa Islam di tempat ini. Kita akan menggapai kejayaan seperti mana namamu telah berjaya menarik hati aku kepada Islam yang sebenar.” Karimah kini menoleh ke arah masjid lambang  kebanggaan warga universiti itu serta umat Islam umumnya. 

“InsyaAllah, Karimah. Bantuan yang diberikan oleh sahabat-sahabat tanpa rasa jemu membuatkan aku lebih bersemangat. Jadi kau mesti turut sama. Ikatan ukhwah yang kita bina berlandaskan kecintaan terhadap Allah, adalah tunjang utama misiku. Sesungguhnya kekuatan itu datang daripada-Nya.” Najihah mengesat air matanya. 

Kini kedua-dua sahabat itu bersama-sama meneruskan misi sebagai da’ie. Nikmat persahabatan yang diberikan kepada mereka berdua digunakan sebaik-baiknya. Mereka cuba untuk meluaskan empayar dakwah mereka terutama sekali di kolej mereka sendiri. 

Nikmat iman yang dikurniakan kepada mereka tidak mengurangkan sedikit pun peranan mereka sebagai pelajar. Beginilah betapa hebatnya agama yang diredhai Allah ini. Tiada cacat celanya. Walau sesiapapun kita, orang yang paling mulia di sisi  Allah adalah orang yang paling bertakwa.

~Wallahua’lam~

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Doa Masuk dan Keluar Tandas

Lampu jalan.