UTM dari kaca mataku.







Desiran angin, yang bertiup
Di bawa bersama khabaran rindu
Membisikan kata-kata
Menjelmakan cintaku pada-Nya

Ku titipkan kata-kata ini buat warga SMKPT yang sudah sekian lama aku tinggalkan. Sudah hampir dua tahun aku meninggalkan bangku sekolah. Kini aku telah menjejakkan kaki ke universiti di mana sebuah kehidupan sebenar yang dicari-cari oleh remaja merangkap pelajar tegar ini. Mana mungkin aku lupakan segala kenangan di sekolah dahulu. Setiap kenangan itu mempunyai makna tersendiri.

Bagaimana agaknya khabar sahabat-sahabat seperjuangan yang lain? Adakah mereka masih mengingati kenangan dahulu? Atau sudah ditenggelami oleh kehangatan zaman yang mereka tunggu ini? Memang tidak dapat dinafikan, apabila sudah berjauhan dengan keluarga, kita akan berasa bebas untuk melakukan apa-apa sahaja. Tanpa ada sesiapa untuk menegur. Begitu juga aku. Aku bebas melakukan apa sahaja tanpa halangan. Bebas melakukan apa sahaja? Itu bukan bermakna dunia ini kita yang punya. Kita masih mempunyai limit dalam hal ini. Dunia ni bukan kita yang punya. Siapa kata dunia ni kita punya? Mari fikir-fikirkan ayat ini.

“Dialah (Allah) yang menciptakan segala apa yang ada di bumi untukmu kemudian Dia menuju ke langit, lalu Dia menyempurnakannya menjadi tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Benarlah kata-kata Allah Yang Agung.

Al-Baqarah 2:29

Jelas terang lagi bersuluh. Siapalah kita hamba-Nya yang lemah ini. Tiada daya melawan kekuasaan Allah. Dia berhak menghidupkan dan mematikan dengan sekelip mata mungkin. Jadikan Al-Quran rujukan utama.

Berbalik tentang alam baru yang aku nyatakan awal tadi. Bukanlah bertukar alam dunia ke alam barzakh atau apa. Janganlah critical thinking sangat. Saje, suspens. Alam yang aku maksudkan ini ialah universiti. InsyaAllah, semua orang akan merasainya, dengan izin Allah. Sebelum pergi lebih jauh lagi, aku kini melanjutkan pengajian dalam bidang kimia industri. Bila dengar industri je mesti orang fikir kilang. Bukan kerja di kilang je la. Luas sebenarnya bidang ni. Samada jadi saintis, ahli forensik, dan macam-macam lagi lah. Kalau nak tahu lebih lanjut boleh cari di sini. www.fs.utm.my.

Suka untuk dikongsikan perkembangan tentang Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Semasa minggu pertama di sini iaitu Minggu Transformasi Mahasiswa (MTM) ata lebih dikenali sebagai minggu orientasi, kami telah di beritahu oleh Naib Canselor IR.Dato’ Dr. Zaini Ujang, bahawa UTM telah di angkat menjadi Universiti Penyelidikan. Pengumuman itu dibuat oleh Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak semasa pembentangan bajet 2010. Bertuah juga berada di sini. Alhamdulillah. Sehubungan dengan itu, pelbagai usaha yang dibuat oleh pihak UTM, untuk mencapai satu lagi matlamat, iaitu menjadi Universiti Apex pada tahun 2012. Jika dilihat suasana di UTM ini sendiri, para tenaga pengajar dan pelajar-pelajar  bersungguh-sungguh untuk mencapai hasrat tersebut. Satu lagi perkara menarik tentang UTM, pihak UTM akan memberi peruntukan kepada pelajar untuk membuat program ke luar negara yang di beri nama Global Outreach Programme (GOP). Jadi setiap orang akan mempunyai passport setelah graduasi nanti. Peruntukan yang diberikan untuk ke Indonesia, Singapura atau Brunei adalah RM 500 seorang. Manakala, untuk ke tempat selain daripada itu adalah RM 1000.

Aku rasa manis sangat berada di sini. Manis seperti gula, madu dan apa-apa sahaja yang manis. Pada mulanya aku melalui sahaja cara hidup di sini. Mungkin langkah permulaan aku biasa sahaja. Pergi ke kuliah, balik dari kuliah. Hari-hari melakukan benda yang sama. Bosan juga sebenarnya. Aku bukan jenis yang duduk diam. Aku mula melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh kolej. Di antaranya Sukan Kolej Antara Mahasiswa (SUKAM). Alhamdulillah, dapat juga beriadah. Selain itu, aku menyibukkan diri dengan kelab dan persatuan. Daripada situ aku menimba pelbagai pengalaman. Pernah aku menjadi ahli jawatankuasa untuk sesuatu program di universiti ini. Ternyata ia memerlukan persiapan yang rapi. Aku teringat pesanan Cikgu Hairiri. Dia pernah memberitahu aku bahawa di universiti, pelajar-pelajar sendiri yang mengendalikan program. Dengan berbekalkan pengalaman di sekolah, aku aplikasikan di universiti. Terima kasih cikgu!

Belajar ni bukan semata-mata untuk mendapat kerja. Hendak rumah besar, gaji lumayan, kereta besar, berpangkat dan ingin disebut-sebut namanya kerana jawatannya. Sia-sia semua itu jika Allah tidak redha. Bukankah redha Allah yang kita cari? Tidak rugi jika tidak kaya sekalipun. Tidak rugi jika tidak berpangkat sekalipun. Tidak rugi jika tidak disebut-sebut namanya di khalayak. Allah tidak memandang semua itu.

“ Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.”

Al-Hujurat 49:13

Walau bagaimanapun, itu bukanlah alasan untuk kita tidak berusaha untuk mencari rezeki di Bumi Allah ini. Usaha tangga kejayaan. Bagaimana hendak berjaya kalau tiada usaha. Namun, kita tetap perlu menerima segala ketentuan Allah. Jika Dia tidak mahu kita memiliki sesuatu, Dia tidak akan beri. Terima sahaja. Formulanya mudah. Kita mahu beli sesuatu barang di kedai Pak Mat, tetapi barang tu tidak ada. Kita cari di kedai lain pula. Tiada juga. Kita terima bukan, yang barang tu tiada. Mudah je kan?

Boleh tak jika masuk sikit tentang belajar? Sebagai pelajar, kita akan sentiasa dihantui dengan masalah ini. Masalah apa? Apa lagi kalau bukan peperiksaan. Setiap orang mesti menduduki peperiksaan punyalah. Percayalah. Keputusannya bagaimana? Ya, anda pasti mengharapkan yang terbaik. Bagaimana pula jika gagal? Bagaimana jika tidak mencapai sasaran? Nah, bagaimana hendak menghadapi pengharap-pengharap yang mahukan anda mendapat markah yang baik? Jangan bersedih wahai sahabat. Allah ada untukmu. Anda tidak keseorangan. Allah sentiasa bersamamu. Kembalilah kepada-Nya. Bermohonlah kepada-Nya. Hanya kepada Allah tempat mengadu.  Mari amalkan doa ini.

Doa mengelak dari menjadi pelupa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَأَرْضِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, tambahkanlah buat kami jangan Engkau kurangkan, muliakanlah kami jangan dihina, berilah buat kami jangan ditahannya, dan pilihlah kami jangan Engkau biarkan, dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.” (Riwayat Ahmad no. 224).

Ingatlah, apa sahaja yang ingin kita lakukan, mestilah kerana Allah. Dari Abu Dzar, Jundub bin Junadah dan Abu Abdul Rahman, Muaz bin Jabal r.a, dari Rasulullah SAW, sabdanya : " Bertaqwalah kepada Allah di mana saja engkau berada. Iringkanlah perbuatan jahat itu dengan perbuatan baik, mudah-mudahan yang baik itu akan memadam yang jahat. Dan berperangai kepada manusia dengan dengan perangai yang bagus. "

Inilah pengalaman aku di Universiti Tarbiah Manusia (UTM). Aku sayangkan pengalaman ini. Mendidik aku menjadi khalifah dan hamba-Nya.  ~Wassalam~

Bila rajin datang la...huhu...

Experimen terakhir sem 1 amali kimia.
Buat sabun.











Comments

Popular posts from this blog

Doa Masuk dan Keluar Tandas

Lampu jalan.