Seronoknya ada pengalaman

Dengan Nama Allah...
Alhamdulillah, dapat lagi merasai nikmat Allah yang Maha banyak ni. Tak terhitung.
Cuti semester yang ...yang ape ye....hemm...macam biasa la..duduk rumah je. Time aku cuti, adik-adik aku pergi sekolah. Time adik-adik aku cuti sekolah, aku ada kat U pulak. Bila la nak cuti panjang sama-sama...

Nasib baik la ada buku-buku yang nak ngadap. Kawan dengan buku la nampaknya. Buku 4 Pemimpin Ajaib tulisan Umar Hafiz menjadi teman sebelum tidur. Ayat-ayatnya yang mudah difahami menambahkan lagi keseronokan membacanya.=)

Kisah 4 pemimpin yang sangat hebat ini, Saidina Abu Bakar As-Siddiq R.A., Saidina 'Umar Al-Khattab R.A., Saidina 'Usman bin Affan R.A., dan Saidina 'Ali Bin Abu Talib Karamallahuwajhah boleh dijadikan panduan, iktibar dan sifat-sifat peribadi mereka boleh juga dicontohi.


Saidina Abu Bakar As-Siddiq merupakan sahabat Rasulullah S.A.W. yang sangat karib, rapat dan setia. Beliau merupaka sahabat nabi yang terawal memeluk Islam. Bapa mertua Rasulullah ini merupakan sahabat yang sanggup menyerahkan semua hartanya untuk agama Islam. Sehinggakan Rasulullah bertanya kepada beliau, "Apakah yang tinggal padamu, wahai Abu Bakar?" Jawab Abu Bakar, "Allah dan Rasul." Subhanallah. Begitu sekali cintanya sahabat kepada Rasulullah. Sehinggakan semua hartanya diinfakkan di jalan Allah. Cukuplah Allah dan Rasul sebagai harta. Kita? Semoga Allah meredhai beliau.

Saidina 'Umar Al-Khattab gagah berani. Setelah dilantik menjadi Khalifah dengan gelaran Amirul Mukminin, beliau meletakkan dirinya serendah-rendahnya dalam kalangan rakyatnya sendiri. Seorang khalifah yang zuhud sehingga beliau sendiri menerima zakat. Sifat cakna terhadap rakyat amat mengkagumkan. Pada suatu malam, seperti kebiasaan beliau meronda rumah penduduk kampung. Setibanya di sebuah rumah yang dihuni oleh penjual susu, beliau terdengar dialog di antara ibu dan anak perempuan. Si ibu berkata kepada anaknya, "Wahai anakku, tambahkan sahaja air ke dalam susu itu supaya menjadi lebih banyak." Anaknya pula berkata,"Wahai ibuku, nanti apabila diketahui oleh Amirul Mukminin bukankah kita akan dihukum?" Si ibu menjawab "Tidak mengapa, Amirul Mukminin tidak mengetahui lebih-lebih lagi malam begini." "Tetapi jika Amirul Mukminin tidak tahu, Tuhan Amirul Mukminin tetap tahu." Jawab si anak pula. Saidina 'Umar yang mendengar dialog mereka menangis. Saidina 'Umar menyuruh anaknya menikahi gadis tersebut. Daripada generasi inilah lahirnya Khalifah 'Umar bin Abdul Aziz yang sama mengikut kezuhudan moyangnya. Di zaman pemerintahan Saidina 'Umar Al-Khattab, banyak perubahan yang dilakukan sehingga mampu menakluk hampir 2/3 dunia. Semoga Allah meredhai beliau.

Sahabat nabi yang pemalu ini tiada tolok bandingnya. Saidina 'Uthman bin Affan yang diberi gelaran Zunnurain kerana menikahi dua puteri baginda, Siti Ruqayyah dan Ummi Kalthum. Saidina 'Uthman mempunyai kisahnya yang tersendiri. Beliau dikatan terbunuh semasa perjanjian Hudaibiyah. Di sinilah terjadinya baiatul ridhwan, di mana Rasulullah dan  para sahabat yang lain menunggu di bawah pokok yang rendang  menyatakan hasrat ingin membalas dendam. Walaubagaimanapun, isu ini reda apabila Saidina 'Uthman datang kepada mereka dengan keadaan selamat. Saidina 'Uthman terkenal dengan sifat dermawan. Beliau juga membukukan Al-Quran yang diguna pakai sehingga hari ini yang diberi nama Resm Uthmani. Semoga Allah meredehai beliau.

Saidina 'Ali Karamallahuwajhah (Allah memuliakan wajahnya). Gelaran ini diberi kerana Saidina Ali tidak pernah menyembah berhala sejak kecil. Beliau merupakan kanak-kanak yang pertama memeluk Islam. Beliau merupakan sepupu dan menantu Rasulullah S.A.W. Beliau menikahi puteri kesayangan Rasulullah iaitu Saidatina Fatimah Az-Zahra'. Saidina Ali pernah menggantikan tempat tidur Rasulullah di saat peristiwa hijrah ke Madinah. Risiko yang diambil adalah tinggi di mana kaum kafir Quraisy mengepung rumah Rasulullah S.A.W. untuk membunuh baginda apabila baginda keluar dari rumah. Begitu hebat perancangan Allah. Sesungguhnya hidup dan mati itu di tangan Allah. Sewaktu Saidina 'Ali ingin menikahi Saidatina Fatimah, beliau tidak mempunyai apa-apa pun untuk dijadikan mahar. Sesungguhnya kisah cinta mereka ini sangat menarik. Semoga Allah meredhai beliau.

Sedikit sahaja ulasan yang mampu aku berikan daripada buku ini. Sahabat-sahabat ini merupakan salah satu contoh untuk diikuti selepas Rasulullah. Berjuang kerana Allah dan Rasul. Tahap kecintaan mereka tiada tandingannya. Hanya bangga tersemat dijiwa menjadi umat Nabi Muhammad untuk menyambung risalah perjuangan baginda. 
Allahummah solli 'ala Saidina Muhammad.

Comments

Popular posts from this blog

Doa Masuk dan Keluar Tandas

Lampu jalan.