Menikmati nikmat Allah.

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah atas segala nikmat. Allah sahajalah yang berkuasa atas segala sesuatu. Atas rahmat-Nya membenarkan hamba yang lemah ini mencoret berpatah-patah kata. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan Nabi Muhammad S.A.W. dan ahli keluarga serta sahabat-sahabat baginda.

Syukur ada mata. Syukur ada telinga. Syukur ada kaki. Syukur ada tangan. Syukur ada hidung. Syukur ada mulut. Syukur ada otak. Syukur ada anggota badan yang sempurna. Alhamdulillah atas segala nikmat ini. Bagaimana kita menghargai kurniaan ni? Berapakah harga yang Allah letakkan untuk kita mensyukuri nikmat ini? Ada  bil? Subhanallah. Allah Maha Pemurah.

Lalu, kita sebagai hamba yang lemah ini, sepatutnya, sewajarnya, dan sewajibnya mensyukuri nikmat Allah. Bagaimana? Apalah gunanya mata jika melihat perkara-perkara maksiat? Bukankah sudah diarahkan untuk tunduk? Jagalah pandangan wahai muslimin dan muslimat. Namun, jika terlihat maksiat, tidak wajar pula jika ia dibiarkan. Di mana pula peranan tangan dan kaki serta mulut? Sebagai mensyukuri nikmat Allah, pergilah ke arah pelaku maksiat itu, tegurlah dengan berhemah. Jangan salah guna anugerah tangan dan kaki itu. Tidak perlu ditampar, tidak perlu disepak. Cukuplah sekadar menegur. Lihat situasi dan kondisi. Mana-mana cara yang sesuai boleh aplikasi.

Menjadi hamba Allah sekadar solat, puasa, zakat, pergi haji tidak cukup. Di mana letak peranan khalifah? Khalifah bukanlah bermakna perlu naik takhta kerajaan. Bukanlah menjadi seperti perdana menteri, menteri besar dan sebagainya. Pemimpin kepada diri sendiri sudah memadai dengan makna khalifah itu sendiri. Bersedia men'soleh'kan diri sebelum men'soleh'kan orang lain. Tarbiyah diri sendiri sebelum mentarbiyah orang lain. 

Sifat manusia yang inginkan kebaikan tidak boleh dihalang. Sentiasa bersifat terbuka dalam memenuhi permintaan, menerima pandangan, dan memberi nasihat. Jangan letakkan rasa ego yang tinggi dalam diri kerana ia akan melambatkan proses didikan. Kita harus fahami dengan sikap manusia. Mereka ini punyai pelbagai ragam. Berlapang dadalah dengan sebarang kekurangan. Mana ada manusia yang sempurna. Mana mungkin semua omongan kita mereka akan dengar. Mereka berhak untuk tidak dengar. Malah mereka juga ada ego. Hidayah di tangan Allah. Siapalah kita untuk memaksa mereka untuk menerima 100% seruan ke jalan-Nya.

Jalan mana yang mudah menuju Allah? Jika mudah sudah tentu ramai yang mengikutinya. Dalami kisah Rasulullah. Pengorbanan baginda sangat besar. Letakkanlah diri untuk menyambung perjuangan baginda. Tanamkanlah azam bahawa perjuangan yang dibawa bukanlah suatu perkara yang sia-sia. Penilaiannya bukannya serta-merta. Beruntung bagi yang sabar menempuhinya.

Rugilah sesiapa yang masih lagi belum bersedia menerima taklifan atau tanggungjawab memikul beban dakwah ini. Apa lagi yang perlu ditunggu? Sampai bila kita mahu memencilkan diri dalam kelompok yang tidak mahu jaga tepi kain orang. Hadapi masalah ummat sekarang. Rasailah bagaimana kehidupan ummat sekarang. Nilailah dengan mata hati. Tegakkan kebenaran walaupun ianya pahit. Tidak perlu takut kerana Allah bersama-sama orang yang ingin menegakkan kalimah-Nya dan mencari keredhaan-Nya.

Sesiapa yang melakukan kebaikan ataupun keburukan walau sebesar zarrah, ia akan melihat balasannya.

Comments

Popular posts from this blog

Doa Masuk dan Keluar Tandas

Lampu jalan.