Seperti seorang ibu yang kehilangan anaknya.

Nama sebenarnya Yusof, lahir di Tikrit (Iraq) pada tahun 543H atau 1138M. Ayahnya, Najmuddin Ayyub yang berbangsa Kurdis berasal dari Azarbaijan. Datuknya berpindah ke Baghdad dengan membawa dua orang putera bernama Najmuddin Ayyub (ayah Salahudin) dan Asadudin Syirkuwah. Kemudian ayahnya dilantik menjadi gabenor di Tikrit dan Asadudin dilantik menjadi panglima tentera.

Sejak kecil, Salahudin diasuh oleh bapa saudaranya, Asadudin dengan ilmu ketenteraan dan diasuh oleh ayahnya dengan ilmu agama. Semasa kecil sehingga meningkat remaja, kehidupan Salahudin sama seperti kanak-kanak yang lain kerana tidak ada tanda-tanda dia akan menjadi masyhur apabila dewasa kelak.

Lane-poole seorang ahli sejarah Inggeris menulis mengenai Salahudin. "Sebagai anak kepada gabenor yang disukai raja, beliau memang menduduki tempat istimewa tetapi beliau tidak menunjukkan tanda-tanda kehebatan yang bakal tiba. Sebaliknya beliau mempamerkan contoh jiwa yang tenang dan menjauhi kelesuan pemikiran golongan bangsawan."

Salahudin dididik dan dibesarkan seperti pemuda Kurdis yang lain. Apabila meningkat dewasa, beliau menjadi pemuda yang cekap menunggang kuda lalu menyertai tentera berkuda Sultan Aleppo. Kemudian beliau diarahkan berpindah ke Mesir walaupun pada mulanya dia menerima perintah itu dengan hati yang berat kerana hatinya lebih mencintai Kota Aleppo. Walau bagaimanapun, selepas berada di Mesir, bintangnya bersinar terang.

Menurut Shaddad, seorang ahli sejarah Arab, "Sebaik sahaja Salahudin berpindah ke Mesir, dunia keseronokan sudah luput dari hatinya. Dia berpaling dari keseronokan dunia lalu memilih hidup dengan penuh pengabdian kepada Allah.

Menurut Lane-poole pula, "Selepas berpindah ke Mesir, Salahudin mula menyusun hidupnya dengan lebih ketat. Beliau bertambah warak dan zuhud. Beliau berpaling daripada hidup bersenang-lenang kepada hidup yang serba sederhana, serta menjadikan dirinya sebagai teladan kepada tenteranya. Sejak itu beliau mula menumpukan segala usaha dan tenaganya kepada satu tujuan yang besar, iaitu membina empayar Muslim yang cukup kuat bagi menghalau keluar kaum Kristian dari Baitul Maqdis.."

Salahudin Ayubi berubah menjadi seorang yang sangat cintakan agama Islam. Beliau bercita-cita merebut kembali Baitul Maqdis daripada kekuasaan tentera Kristian. Demi tujuan itu, beliau bercita-cita memperkuatkan angkatan tentera Islam.

Impian itu tercapai apabila Sultan Nurudin yang memerintah Mesir mangkat lalu Salahudin dilantik menjadi ketua angkatan tentera Mesir. Bintangnya terus bersinar. Beberapa tahun kemudian, beliau dilantik menjadi Perdana Menteri Mesir. Bagi menguatkan pemerintahannya, beliau menyatukan Mesir, Syria, Hijaz, dan Yaman di bawah satu pemerintahan.

Ibnu Shaddad, seorang ahli sejarah Islam menulis, "Kerana terbakar dengan semangat bagi memerangi tentera salib, jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Beliau sentiasa berusaha mencari jalan bagi menguatkan pasukan tentera serta berbincang dengan sesiapa yang menyuarakan pendapatnya mengenai persediaan perang itu. Dalam menjayakan usaha jihad, beliau meninggalkan rumah kediaman dan keluarga, serta memilih kehidupan dalam khemah tentera."

Seterusnya Ibnu Shaddad menulis, "Di medan perang, Salahudin kelihatan seperti seorang ibu yang kehilangan anaknya. Beliau kelihatan sentiasa di atas kudanya bergerak dari penjuru medan perang ke satu penjuru yang lain sambil menyeru tenteranya berjuang kerana Allah. Sepanjang berlangsungnya peperangan, Salahudin sentiasa berpuasa pada siang hari walaupun beliau demam sehingga doktor peribadinya menyuruhnya berbuka."

Kemuncak perjuangan Salahudin apabila tenteranya berjaya mengalahkan tentera Salib di Hittin pada 4hb Julai 1187. Kejayaan ini membawa kepada jatuhnya Baitul Maqdis pada 15 Oktober 1187 bersamaan hari Jumaat, 27 Rejab 583 Hijrah.

Menyentuh kemenangan itu Lane-poole menulis, "Bunga kesatriaan sudah diambil oleh Salahudin Ayubi. Raja Baitul Maqdis, Reginald of Chatillon, Joscelin of Courlenay, Humphrey of Toron, Masters of the Temple and Hospital dan ramai lagi pembesar-pembesar lain sudah ditawan. Para kesatriaan yang lain berada di bawah tawanan tentera Islam. Sesiapa yang masih hidup daripada golongan orang kebanyakan sudah menjadi tawanan. Seorang tentera Arab dilihat menarik sejumlah tiga puluh tentera Kristian yang ditawannya diikat dengan tali khemah. Mayat-mayat bertimbun-timbun seperti batu-bata disamping salib-salib yang patah dan kepala-kepala yang bertaburan di atas tanah bagaikan buah-buah tembikai."

Ketika kota Jerusalem ditawan oleh tentera Salib pada 15 Julai 1099 keadaan begitu menyayat hati. Tentera Salib bertindak kejam dengan membunuh hampir kesemua penduduk yang beragama Islam termasuk wanita, orang tua dan kanak-kanak. Pembunuhan kejam itu dilakukan selama seminggu sehingga tidak ada lagi penduduk Islam di kota Jerusalem yang terselamat.

Menurut Ibnu Athir di dalam bukunya Al-Kamil fit Tarikh,  sebelum sampai ke kota Jerusalem, tentera Salib di bawah pimpinan Raja Reymond menakluk satu tempat bernama Maaratun Nu'man. Di situ mereka membunuh lebih seratus ribu umat Islam dan melemparkan mayat mereka ke dalam api."

Menurut Gustav Le Bon, dalam bukunya mengenai perang Salib pula mencatatkan begini, "Kaum Salib kita yang mengaku kuat beragama itu tidak cukup melakukan kerosakan dan kezaliman kepada umat Islam. Bahkan mereka sudah bermesyuarat dan mengambil keputusan yang seluruh penduduk Baitul Maqdis dibunuh. Korban kekejaman itu bukan sahaja kepada orang Islam bahkan juga orang Yahudi dan Kristian yang enggan bekerjasama dengan mereka bagi melakukan tindakan yang kejam itu. Akibat kekejaman itu, kira-kira enam puluh ribu orang dibunuh selama lapan hari lapan malam sehingga tidak ada lagi yang selamat."

Ibun Khaldun, seorang sejarawan Islam pula menulis begini, "Tentera Salib yang ganas dan kejam itu telah mengganas di Baitul Maqdis selama seminggu. Mereka melakukan rompakan, perkosaan dan membakar rumah-rumah penduduk. Apabila dihitung jumlah mayat di sekitar masjid, dalam rumah dan di sepanjang jalan, jumlahnya tidak kurang tujuh puluh ribu orang."

Tetapi apabila kota Jerusalem berjaya ditawan oleh tentera Islam pada 15 Oktober 1187, berlaku sebaliknya. Salahudin Ayubi memerintahkan tentera Islam memberi layanan yang baik kepada tawanan. Tidak ada seorang penduduk Kristian di kota Jerusalem yang dibunuh ataupun dianiaya. Sebaliknya penduduk Kristian termasuk tentera Salib yang ditawan dibenarkan meninggalkan kota Jerusalem dengan membayar tebusan mengikut kemampuan masing-masing.

Selepas berjaya menawan kota Jerusalem dan mengikat perjanjian perdamaian dengan tentera Salib, Salahudin Ayubi kembali ke Damsyik. Walaupun ketika itu beliau menjadi pemerintah dari Mesir hingga ke Yaman dan namanya masyhur kerana berjaya menakluk Baitul Maqdis daripada tentera Salib namun dia tetap memilih hdup yang sederhana.

Pada 16 Safar 598 Hijrah beliau jatuh sakit. Beliau meninggal dunia pada malam 27 Safar, 598 Hijrah bersamaan Mac 1193 ketika berumur 55 tahun dan dikebumikan di Damsyik, Syria.

** Ambil dari buku ni. Kat atas tu baru sikit. Nak tahu lebih baca la buku ni. ^_^

Comments

Popular posts from this blog

Doa Masuk dan Keluar Tandas

Lampu jalan.