Kosong

بسم الله الرحمن الرحيم
 الحمدلله
Terima kasih Allah kerana masih mengizinkan aku menitip kata-kata yang mungkin bakal aku lupakan. Dan mungkin tiada siapa pun yang merenung ayat-ayatku ini. Sementara masa masih ada dan peluang terbuka luas bagiku mengisi kekosongan laman ini, aku berharap agar dapat menulis kembali segala idea-idea kontangku ini. Ah, mengarut! Kontang pun Tuhan yang bagi. Luah setakat yang mampu. Biarlah.

Sepi.

Setiap hari sofa menghadap TV menjadi port baginya meneroka smartphone miliknya. Sekejap mengiring ke kanan sekejap mengiring ke kiri. Sekejap lagi dia terlentang. Masa berlalu begitu sahaja. Setiap hari begitulah rutinnya.

Sesekali dia merasakan hidupnya tiada makna. Melakukan rutin yang tidak berfaedah. Menghadap telefon dan tidur. Sampai bila dia mahu jadi begini?

Suatu hari dia bermimpi. Tidurnya terganggu dek kerana mimpinya yang merenggut seluruh jiwanya untuk berubah. Mukanya berpeluh. Dadanya berdegup kencang seolah-olah malaikat maut datang.

Memang dia bermimpi didatangi seseorang yang tidak dikenali. Lembaga hitam. Ah! Pasti orang kata ini dongeng. Tetapi ini mimpi. Mungkin membawa petanda. Mungkin sekadar mainan. Dalam mimpinya yang agak samar-samar itu dia terdampar di tepi pantai. Sendirian. Dia mencari kelibat manusia lain. Namun hampa. Tiba-tiba dirinya lemas sedangkan air laut itu cetek sekali. Paras pinggang mungkin. Lembaga itu hanya memerhatikan dari jauh.

Saat itu juga dia lemas untuk bangkit dari tidurnya. Dia merasai seperti mimpinya. Adakah ini benar-benar terjadi? Dia melihat ke sekeliling. Hanya nyalaan lampu tidur. Dia meraup wajahnya. "Ya Allah, mimpi apa ni? " Dia kemudiannya bangkit dan ke tandas untuk berwuduk. Terasa bingung sekali perasaan ini. Dadanya berombak lagi. Kini dia berada di tikar sejadah. Dahinya sujud rapat ke sejadah. Tangisan sesalan akan rutin hidupnya dan dosa-dosa kering yang dilakukan diimbas kembali. Allah. Berat rasanya menjadi hamba yang tidak bermanfaat untuk agama. Rasa macam sampah pun ada. Hinanya dia rasa saat itu. Tidak dapat menahan sebaknya diri, usai solat dia baring melawan tangis hingga tertidur tersedu-sedan. Beberapa jam lagi azan subuh akan berkumandang.

Kepalanya pening. Mujurlah dia terjaga beberapa minit sebelum azan subuh. Sempatlah dia berwuduk semula dan menunggu untuk menunaikan solat sunat subuh. Dia terlihat akan telekungnya basah. Segera ditukarkan kepada telekung yang lain.

Termenung seketika mengingatkan kembali malam yang sesak baginya. Malam yang menyentap emosinya. Biar perit tetapi dia rasa berbaloi. Cuma mimpi. Tetapi bermakna baginya.

Mungkin satu peringatan.

Comments

Popular posts from this blog

Doa Masuk dan Keluar Tandas

Lampu jalan.