Kepentingan solat 5 Waktu


Allahu Akbar…!!! Allahu Akbar…!!! Allahu Akbar….!!!
Dengar sahaja azan berkumandang, bingkas bangun mengambil wudhu’. Itulah kewajipan sebagai umat Islam. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh. Solat adalah perintah daripada Allah S.W.T.
“Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.Dan ketahuilah mengingat Allah (solat) itu lebih besar (keutamaannya daripada ibadah yang lain).” (Al-Ankabut: 45)1
Demikianlah perintah Allah daripada ayat-Nya. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.
Sebelum pergi jauh lagi, mari sama-sama meneliti maksud solat. Solat dari segi bahasa ialah doa atau doa dengan sesuatu kebaikan. Daripada istilah syarak pula, solat bermaksud perkataan, perbuatan yang dimulakan dengan takbir berserta niat diakhiri dengan salam mengikut syarat-syarat yang tertentu2. Jika kita perhatikan semula pergeraka-pergerakan ketika solat, ia mempunyai hikmah-hikmahnya tersendiri. Bersyukur diberikan kefahaman tentang Islam, kerana dapat memahami dan memerhati kelebihan-kelebihan solat itu sendiri.
 Lihat sahaja umat manusia akhir zaman ini. Macam-macam ragam. Macam-macam kemungkaran dan kemaksiatan yang telah mereka lakukan di muka bumi ini. Lebih-lebih lagi golongan remaja yang kebanyakannya terdiri daripada mahasiswa. Agak memalukan jika kita lihat kelakuan mereka. Di mana letaknya akal mereka? Berbaloikah dengan menggenggam segulung ijazah tetapi solat tidak gah? Berbaloikah menjadi pemimpin, tetapi diri tidak dipimpin. Tetapi, bagaimana hendak pimpin diri?
Subhanallah! Apabila diperhatikan semula keajaiban solat, tidak dapat disangkal lagi. Terdapat banyak kelebihannya. Salah satunya ialah memelihara diri daripada perbuatan keji dan mungkar. Selain itu, segala tingkah laku kita adalah cerminan daripada solat kita sendiri. Jika sempurna solat seseorang itu, maka sempurnalah akhlaknya. InsyaAllah.
Solat juga merupakan tiang agama. Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Islam didirikan dari lima sendi: mengaku bahawasanya tiada Tuhan yang sebenar-benarnya disembah melainkan Allah yang Maha Esa, mengaku bahawasanya Muhammad itu pesuruhNya; mendirikan solat; mengeluarkan zakat; mengerjakan haji, dan berpuasa di bulan Ramadhan.”3
Sudah banyak penjelasan yang diambil daripada Al-Quran dan hadis-hadis tentang kewajipan solat. Mana tidaknya, solat merupakan perkara pertama yang akan di soal di dalam kubur kelak. Malanglah bagi sesiapa yang mengambil ringan akan solat ini. Satu lagi perkara yang berkaitan dengan solat ini ialah solat pada waktunya.
Seringkali kita lihat manusia sentiasa sibuk dengan kerjanya sehingga terlupa hendak solat. Kadang-kadang, terleka dengan hiburan. Tidak seharusnya perkara ini berlaku. Pentingkan hiburan sehingga lalai untuk solat. Dalam konteks sebagai seorang mahasiswa, tidak wajarlah kita meninggalkan solat di mana ia merupakan  medan berinteraksi dengan Pencipta. Mudah dan tidak mengeluarkan apa-apa kos. Sebaik-baik amalan yang dikerjakan ialah solat lima waktu. Sebanyak mana amalan seseorang itu, jika ia meninggalkan solat lima waktu sia-sia semuanya.
Kita boleh lihat, jika solat dalam waktunya yakni menyegerakan solat, ia menunjukkan bahawa seseorang itu menepati masa. Daripada amalan inilah kita sentiasa boleh menepati masa apabila berurusan dengan orang lain. Betapa indahnya Islam. Mengajar kita melalui solat. Sifat sabar juga daripada solat. Solat yang seperti ayam patuk padi menunjukkan seseorang itu tergopoh-gopoh membuat sesuatu. Buruk kan? Tidak mahukah menjadi penganut agama Islam yang dihormati? Dengan solat ini sahaja pun orang dapat menilai akhlak kita. Sabar, tepati waktu dan segala kebaikan yang tidak ramai orang nampak daripada solat.
Jadi, bersama-samalah kita menegakkan syiar Islam. Walaupun nampak macam susah, tetapi ianya bermula dengan diri kita sendiri. Mendirikan solat tanda-tanda orang berjaya. Menegakkan agama Allah, tanda-tanda orang berani. Meninggalkan larangannya, tanda-tanda orang taat. Segalanya bermula dengan solat. Solat pemacu kegemilangan.
Wallahua’lam.


Comments

  1. Salam...

    Tiang yg teguh menjadikan binaannya ttp utuh berdiri walau dilanda tiupan angin kencang..itulah perumpaan solat yg khusyuk...insyaAllah..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Doa Masuk dan Keluar Tandas

Lampu jalan.