Apabila hidayah menerpa

بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah atas nikmat yang Allah berikan kepada setiap makhluk-Nya. Beberapa hari yang lepas aku dan sahabat-sahabat berpeluang mengembara ke bumi Sonata. Satu tempat di mana penduduknya tinggi dengan teknologi. Namun, apa yang menyedihkan amat sedikit sekali yang kenal kepada penguasa teknologi yang Maha Agung. Sepanjang pengembaraan, kami dihidangkan dengan pemandangan kota metropolitan, Seoul di Korea Selatan. Serba sedikit coretan yang mampu diungkapkan apabila menjejaki bumi Korea.

Kehidupan warga Korea yang senantiasa sibuk sepanjang masa, menimbulkan tanda tanya dibenak fikiranku. Apakah yang mereka cari? Setiap masa mereka sibuk dengan gadjet mereka. Setiap kali memasuki keretapi bawah tanah di negara itu, pastinya mereka dengan gadjet mereka sendiri. Mereka hanya senyap dan membuat hal masing-masing. Mungkin bagus dan tidak mengganggu orang lain. Mungkin juga itu budaya yang dididik kepada mereka sejak kecil. Siapa tahu.



Walaubagaimanapun, aku juga kagum dengan mereka dalam beberapa hal. Disiplin mereka amat tinggi. Masa sangat dijaga. Seawal 5 pagi ada penduduk di sekitar kawasan penginapan kami sudah keluar bekerja. Kebanyakan daripada mereka menggunakan kenderaan awam untuk bergerak seperti bas dan keretapi. Lebih mengagumkan ada warga tua yang tidak tahu berapa usianya masih gagah melangkah menggunakan keretapi bawah tanah, sedangkan kami anak muda ini sudah semput menjejaki anak-anak tangga setinggi enam tingkat.

Jika berjalan sekitar kota yang berada di bandar Seoul, setiap malam pasti penuh dengan limpahan manusia membeli belah. Ada juga yang ke kelab-kelab malam. Apabila menjejaki kaki ke situ, sayu hati melihat mereka. Jauhnya mereka dengan hidayah Allah. Masih belum banyak lagi usaha dakwah kami umat Islam. Kami hanya banyak menuduh Korea ini terkenal dengan K-Pop, Korean Drama dan macam-macam lagi. Namun, kami lupa akan saudara-saudara kami yang muslim. Betapa susahnya mereka hidup dalam suasana majoriti penduduknya tidak mengenal Allah. Bagaimanalah agaknya jika aku yang menghadapi situasi itu.



Aku percaya suatu hari nanti bumi Sonata ini akan menerima pancaran cahaya hidayah dari Allah Subhanawataala. Diharapkan dengan kerja dakwah oleh saudara-saudara yang berada di Korea dapat menjadi asbab kepada tersebarnya cahaya hidayah itu. Walau susah payah dan pahit getir perjuangan, Allah akan balas dengan pahala yang tidak terkira banyaknya.

Semoga dengan pengembaraan kami kali ini dapat membuatkan aku lebih menghargai nikmat iman dan Islam yang ada pada diriku. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengasih dan Penyayang. Sebarkanlah kebahagiaan dan hidayah kepada setiap tempat yang pernah kami jejaki. Kami tidak mampu untuk berdakwah kepada mereka. Kami ini hamba yang lemah. Kepada-Mu lah kami berserah pentadbir sekalian alam.

p/s: harap dapat ke Korea lagi.


Popular posts from this blog

Lampu jalan.